KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Kebanyakan sungai di Selangor yang
menjadi sumber utama bekalan air mentah didapati tercemar dan berpotensi
menjadi ancaman serius kepada keperluan asas yang amat penting ini jika
tidak ditangani, seorang ahli sains memberi amaran Khamis.
Ketua Unit Permodelan Alam Sekitar, Pusat Penyelidikan Forensik Alam
Sekitar (ENFORCE) Universiti Putra Malaysia, Dr Hafizan Juahir, berkata
bahagian air bersih di sungai-sungai ini semakin pendek akibat aktiviti
guna tanah yang terlalu tinggi, terutama pembangunan kawasan perumahan.
Sebagai contoh, beliau mendedahkan panjang Sungai Langat, sungai utama
di antara beberapa sungai di Selangor yang menjadi sumber air mentah
ialah 149.3 km tetapi bahagian air bersih hanya tinggal 49.3km sahaja
manakala selebihnya 100km sudah tercemar.
Dalam satu temuramah dengan Bernama, Hafizan berkata, pencemaran sungai
dikategorikan kepada empat kelas iaitu 1 dan 2 belum tercemar, manakala
3 dan 4 tercemar secara serius.
"Sepanjang 100km Sungai Langat sudah masuk dalam kelas 3, 4. Dan jika
kualiti air sungai lebih teruk daripada ini, ia sudah dikira sungai
mati," katanya.
Hafizan menjelaskan data-data ini adalah terkini yang diperolehi oleh
para pelajar beliau yang membuat persembahan penemuan mereka mengenai
keadaan Sungai Langat hanya tiga hari lepas.
Beliau berkata di daerah Hulu Langat kini keadaan semakin meruncing dan
mengancam sungai akibat terlalu banyak pembangunan terutama
kondominium, rumah-rumah kedai dan peningkatan populasi yang memberi
impak negatif terhadap kualiti air akibat air cucian, sisa-sisa domestik
dan sampah yang masuk dalam sungai.
"Saya adalah ahli sains dan penyelidik. Saya bercakap berdasarkan fakta
mengenai kualiti air. Saya lihat secara terperinci setiap parameter
kualiti air atau pun trend indeks kuailiti air. Jadi kuantiti air yang
bersih sahaja pun tinggal sikit sahaja," tambah beliau.
Hafizan berkata ramai orang terkeliru apabila bercakap mengenai sumber
air kononnya negara yang kerap hujan untuk mengisi empangan seperti di
Malaysia tidak perlu bimbang tentang sumber air.
"Empangan hanya air untuk tujuan rawatan sebelum kita bekalkan kepada
pengguna akhir seperti kita semua, pengguna domestik atau perindustrian.
Tetapi sumber air daripada ini tadi perlu kita teliti daripada mana
datang sumber air ini. Sumber air ini datang daripada sungai.
"Kalau nak mengharapkan hujan, memang jumlah hujan kita tinggi tetapi
ia jauh daripada mencukupi dengan keadaan pembangunan yang pesat,
pertambahan dan peningkatan dalam populasi. Tidak dapat tidak,
permintaan bekalan air bersih dan air terawat terus meningkat dari
semasa ke semasa," katanya.
Hafizan keadaan kualiti sungai yang semakin tercemar dan kuantiti air
bersih yang semakin merosot bermakna kos rawatan air akan menjadi lebih
tinggi dan ini akan mencetuskan persoalan sama ada kerajaan akan terus
mampu memberi subsidi.
Ditanya mengenai dasar kerajaan negeri yang lebih mementingkan
rancangannya untuk penstrukturan semula air di negeri itu daripada
mengatasi masalah seperti ancaman pencemaran sumber-sumber air dan
kekurangan kapasiti pengeluaran air terawat, beliau berkata
penstrukturan semula seperti yang dicadangkan itu tidak akan memberi
apa-apa makna sekiranya masalah-masalah yang lebih kritikal tidak
diatasi.
"Tanpa mengambil kira bagaimana untuk mengawal pencemaran sumber air
kita ini, meningkatkan keupayaan loji, mengambilkira aspek kuantiti air
bersih, penstrukturan ini tidak akan memberikan apa-apa kebaikan," kata
Dr Hafizan.
Beliau juga menyatakan sokongan terhadap rancangan kerajaan Persekutuan
mendapatkan sumber air dari Sungai Pahang ke Selangor bagi mengatasi
kekurangan sumber air dan pembinaan loji rawatan Langat 2 sebagai
langkah tegas mengelak krisis air yang dijangka melanda Selangor, Kuala
Lumpur dan Putrajaya menjelang 2014.
Lagi pun, katanya, air dari Sungai Pahang tidak tercemar seperti sungai-sungai di Selangor.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment